Rabu, 25 April 2012

~Awak..Cepatlah Kahwin...~

~Awak..Cepatlah Kahwin...~
Ungkapan gurauan ini selalunya dicipta untuk mewarnai suasana. Sebagai bahan usikan dan semata-mata. Tetapi malangnya, apabila tidak ramai yang sedar, bahawa ungkapan ringkas tersebut ibarat adakalanya tidak lebih daripada meletak garam ke luka bagi sebahagian teman atau sahabat kita.

Tidak ramai yang sanggup berterus terang tentang betapa ‘terdesaknya’ mereka untuk berkahwin dan mempunyai pasangan yang halal. Meskipun mereka punya seribu satu sebab untuk merasa begitu, tetapi untuk menghuraikan sebab-sebab tersebut kepada orang lain, ia suatu perkara yang sukar. Bahkan kebanyakan mereka menyimpan beberapa kebimbangan, antaranya :  
1.Boleh jadi, mereka merasa suatu yang sia-sia jika memberitahu sebab-sebab itu kepada manusia-manusia yang tidak berada di tempat mereka, dan memang dijangka tidak akan memahami mereka. 
2.Mungkin orang bakal hilang rasa hormat kepada mereka, setelah mengetahui ‘dalaman’ mereka tidak sekuat ‘luaran’.
 3.Mungkin juga orang akan memandang serong, dengan menganggap mereka ‘terdesak’ disebabkan nafsu semata-mata.  

Apapun, situasi ini memang ada...  

Kadangkala, teman yang setiap hari menyimpul senyum di hadapan kita rupanya menyimpan murung di belakang kita. Sebabnya hanya satu. Resah menunggu hadirnya jodoh untuk mereka.

Lebih parah, jika orang-orang sekeliling seorang demi seorang ‘dijemput’ jodoh masing-masing. Berganda-gandalah parahnya jika setiap kali tiba musim cuti, terpaksa menghadiri kenduri kahwin kawan-kawan rapat dan menyaksikan betapa bahagianya mereka..

Begitu juga jika satu geng yang telah lama berkawan dari alam sekolah sehingga ke universiti. Tetapi sorang demi seorang berkahwin dan berbahagia dengan hidup masing-masing. Sedangkan dia, masih kekal sendirian.  

APA YANG BOLEH KALIAN TOLONG?

Sebenarnya menyaksikan ‘senyuman’ di wajah saya dan teman yang senasib dengan saya yang berada dalam keadaan tersebut, jauh lebih sedih daripada melihat tangisan zahir kami.  

Berdepan dengan golongan ini, sebenarnya terbahagi kepada dua golongan. 

Pertama yang memang enggan ‘simpati’ jauh sekali mahu menolong. Mereka buat hal sendiri. 
Kedua, yang simpati, cuba memahami dan cuba menolong ( dengan syarat sama jantina! ).
  
Golongan pertama gurauan mereka mungkin pedas, atau ‘sengaja dipedaskan’ dan memang tidak memikirkan pun perasaan atau kondisi teman tersebut. 
Adapun golongan kedua, mereka lebih lunak. Di samping cuba mencarikan calon, memperkenalkan dengan orang tertentu, mereka juga memberikan semangat dan motivasi.

Sudah tentu, saya sangat berharap kalian menjadi golongan kedua. Memang benar, tiada apa yang boleh dibantu. Kalian hanya mampu mengungkap kalam, tetapi kalian bukan penentu takdir. Tetapi seboleh mungkin, kita mahu setiap daripada kita bergembira dengan takdir masing-masing. Kita tidak mahu setelah kita beroleh bahagia, kita membiarkan teman kita larut dalam air mata..bukan begitu? (^_^)  

APA YANG SAYA PERLU?

Cuba lihat kehidupan dengan kacamata yang lebih besar. Allah tidak pernah berlaku zalim kepada manusia. Meskipun secara zahir, Dia tidak menjadikan semua orang kaya, bahkan ada juga yang miskin, namun di sebalik dua keadaan itu ada hikmah besar yang Allah tetapkan untuk manusia fikir.

Allah tetapkan takdir kita masing-masing, dengan jodoh masing-masing. Cuma, mungkin jodoh serta kebahagiaan kalian tiba lebih awal berbanding saya. Saya juga ada jodohnya, cuma masih teraba-raba dan tertunggu-tunggu. Saya 'mungkin' kesedihan, kegundahan dan kerisauan.

 Apa yang perlu saya buat hanyalah ‘mengikat’ diri dengan sifat perhambaan dan keyakinan kepada takdir, supaya tidak putus asa dan ‘lari’ daripada Allah. Zahirnya kelihatan saya sedang diuji, sedangkan hakikatnya kalian juga turut diuji.
Adakah ketika saudara kita itu bersedih, kita mahu memahami, mendokong, memberi motivasi, memberi semangat supaya tetap sabar dan teguh menunggu takdir, ataupun kita hanya memberikan perlekehan dan rasa sakit hati? Kata mudahnya, kalau tidak mahu memberi madu, jangan pula memberi racun.  

GURAUAN..

Ada alasan yang kuat untuk kalian berhati-hati dalam gurauan. Antaranya adalah, ia tidak menambah kekuatan walau sedikit pun kepada teman tersebut.. 

Percayalah, saya sendiri yang berada dalam keadaan tersebut jiwa jauh lebih rapuh dan sensitif, khususnya kaum hawa.

Ya, memang kalian sedang bergurau. Boleh jadi kerana geram melihat saya murung, ‘jiwa kacau’, atau kalian tidak tahu apa yang perlu diungkap bagi menceriakan suasana ( di mana kalian berharap saya akan gembira dengan gurauan tersebut).

 Berhati-hati, bukan bermakna tidak boleh bergurau. Tetapi lebih kepada bertindak bijak berdepan dengan sebahagian besar teman. Apatah lagi jika kalian memang mengetahui keadaan mereka yang terdesak untuk berkahwin, atau memang sangat-sangat perlukan perkahwinan tetapi belum ada calon, belum dilamar, belum ada yang ‘nak’ dan sebagainya, maka sangatlah tidak bijak untuk mengungkapkan gurauan sedemikian.

Ingat, kalian memang tidak mampu menyegerakan perkahwinan atau jodoh saya walau seminit, tetapi kalian masih mampu memberikan semangat kepada saya, walaupun seminit. Justeru, jadilah teman yang memahami

Ini bukan perkara main-main. Ini semua soal hati!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan