Jumaat, 29 Jun 2012

~uJiAn DeMi uJiAn..ALLAH.. :'(


Di saat diri sedang bersungguh-sungguh dalam mencari redha Ilahi,
Tatkala itulah Tuhan datang menguji,
Namun hati ini sentiasa pasti bahawa ada sesuatu yang ingin Tuhan aku kenal pasti,
Aku cuba memandang setiap ujian yang datang itu sebagai sesuatu yang positif kerana aku dalam proses memupuk hati,
Bukan aku seorang yang sedang diuji di dunia ini kerana aku yakin masalah yang aku hadapi hanyalah sebesar biji sawi,
Apalah sangat ujian yang aku hadapi jika hendak dibandingkan dengan ujian yang dilalui oleh para muslimin dan muslimat di sana,
Mereka bukan setakat diuji dengan kehilangan harta, makanan, tetapi nyawa,
Malulah aku pada diri sendiri untuk berputus asa disaat umat islam sedang memerlukan kekuatan sesama kita,
Malulah aku untuk terus hidup dalam dunia sendiri akibat sakit yang aku hadapi itu kononya boleh diubat dengan begitu rupa,
Ayuh!!!...aku harus bangkit dan jangan sesekali menyerah pada syaitan durjana,
Aku harus ingat Tuhan tidak menguji aku seorang sahaja,
Orang-orang di sekeliling aku juga diuji, tetapi mengapa mereka masih lagi mampu tertawa,
Sedangkan aku masih lagi di bawah takuk yang sama leka dengan bisikan yang membinasa,
Siapalah aku untuk mempersoalkan itu ini sebegitu rupa ,
Sedangkan bukan aku seorang sahaja yang pernah terluka, sedang diluka dan terluka,
Lalu sampai bila aku harus hidup dengan lagak gaya yang sama?
Aku sering mengharapkan orang untuk berubah,
Namun siapalah aku untuk merubah,
Sedangkan aku sendiri gagal untuk berhijrah,
Sudah banyak yang aku lihat di dunia ini..lalu inilah masanya untuk aku membuka mata bahawa aku sendiri yang harus memulakan langkah,
Bukan mereka tetapi akulah punca kepada segala masalah,
Kerana aku yang menjadikan masalah yang sebesar zarah itu seperti sebesar gajah,


Aku adalah raja kepada diriku,
Masalah hanyalah hamba yang cuba menguji cara pemerintahan hatiku,
Buruk cara aku memandang hamba itu maka buruklah akibat yang akan bertubi-tubi menimpaku,
Baik aku memandang hamba itu maka baiklah akibat yang akan menyusuri langkah-langkah ku,
Sesunggunya kepada Allah tempat aku menyerahkah segala-gala hal menerjah,
Pada Engkaulah ya Allah..tempat aku mengadu segala  masalah,
Ampunilah aku sekiranya di saat aku ditimpa musibah aku telah mendatangkan fitnah,
Fitnah yang membuatkan orang-orang di sekelilingku keluh-kesah,
Walhal aku tidak berniat untuk membuat mereka resah,
Tetapi itulah cara aku untuk menyelesaikan masalah,
Namun sekarang aku telah pasrah,
Bahawa tiada tempat lain untuk meluah,
Melainkan pada-Mu ya Allah,
Pimpinlah hati-hati yang ikhlas berjuang dijalan-Mu kelandasan yang diredhai-Mu ya Allah,
Biarlah apa manusia ingin berbicara kerana sekarang aku hanya ingin mencari redha-Nya,
Aku sudah penat dengan permainan hati yang sering kali membuatkan aku alpa,
Alpa dengan tangungjawab ku yang lebih besar meritnya,
Iaitu mencari redha yang Maha Esa,
Kini aku berusaha menepis segala prasangka,
Biar orang kata aku tiada mata,
Tetapi aku hanya mahu menjaga hal yang lebih utama,
Siapalah aku untuk selalu terasa,
Di saat orang lain juga melalui perasaan yang sama,
Kerana aku ,engkau dan mereka adalah sama,
Tetapi apa yang membezakan kita adalah cara aku engkau mereka melihat ‘benda’.

Khamis, 28 Jun 2012

~UnTuK aWaK..Pujaan Hati..(^^,)v


Ya Allah,
Sesungguhnya aku memohon pertunjuk dari-Mu,
Berilah aku pilihan yang terbaik buat ku,
Dengan ilmu yang ada pada-Mu,
Dan aku memohon kekuasaan-Mu,
Untuk menyelesaikan urusan ku dengan keizinan kudrat-Mu.

♥•♥•♥ Dan aku jua memohon kepada-Mu,
Sebahagian dari kurniaan-Mu yang agung,
kerana sesungguhnya Engkau Maha Kuasa,
Sedangkan diri hamba-Mu ini pernuh dengan kekhilafan,
Dan Engkau jua Maha Mengetahui,
Sedangkan diri hamba-Mu ini penuh dengan kejahilan,
Dan Engkau jualah Maha Mengetahui perkara yang ghaib.
Yang telah Kau tetapkan buat ku…

♥•♥•♥ Ya Allah,
Sekiranya Engkau tahu bahwa fulan/fulanah itu,
Adalah lebih baik untuk diri ku, agama ku, dan kehidupan ku,
Serta lebih baik pula akibatnya di dunia dan akhirat,
Maka takdirkanlah dan mudahkanlah fulan/fulanah bagi ku,
Kemudian berkahilah aku dalam urusan jodoh ini.

♥•♥•♥ Dan sekiranya Engkau tahu bahawa fulan/fulanah itu,
Adalah lebih buruk untuk diri ku, agama ku, dan kehidupan ku,
Serta lebih buruk pula akibatnya di dunia dan akhirat,
Maka jauhkanlah fulan/fulanah dari ku,
Dan jauhkanlah aku dari urusan ini,
Dan takdirkanlah kebaikan untuk ku di mana pun,
Kemudian jadikanlah aku redha menerimanya..

♥•♥•♥ Dengan ini, aku bersujud pada mu ya Allah,
Mengharap dan merintih kepada-Mu,
Air mata yang mengalir ini,
Ku biarkan ia menitis demi mengharap kasih sayang mu,
Yang manakah terbaik buat ku,
Sesungguhnya hidup ku dan jua mati ku,
Adalah semuanya Hanya kerana-Mu,
Moga Kau mengasihani diri ku yang mendambakan petunjuk-Mu.
Ameen Allahumma Ameen Ya Rahman Ya Raheem Ya Robbal Alameen..



Sabtu, 23 Jun 2012

~Saya jatuh cinta...(^__^)



“Eh, biar betul...

“Dah buang tabiat ke saya ni...”

“Masih ada hati lagi rupanya...”

Agaknya itulah reaksinya apabila membaca tajuk di atas.

Benar, ini bukan main-main. Saya betul-betul maksudkannya, ‘saya dah jatuh cinta’.

Jangan silap faham, bukan jatuh cinta yang ‘itu-itu.’ Sebenarnya saya jatuh cinta dengan lagu-lagu dendangan Opick. Pertama kali mendengarnya setelah diperkenalkan oleh seorang sahabat, saya terus terpikat.

Lagu-lagunya mempunyai keenakan yang tersendiri, manakala susunan muziknya yang lembut dan mesra begitu membangkitkan rasa.

Meneliti bait-bait senikatanya amat menyentuh hati, saya bagaikan terserap ke dalam keindahannya. Pastinya saya tidak jemu-jemu melayannya.

Tidak hairanlah blog hijau saya turut dijangkiti ‘demam’ lagu Opick ini...

Manusia juga perlu berhibur

Berkata Saiyidina Ali bin Abi Thalib ra.: “Hiburkan hatimu waktu demi waktu, kerana hati itu jika dipaksa akan menjadi buta...”

Manusia, sekuat mana pun fizikal, jiwa dan fikirannya, ada masa-masa akan tergugat dengan ujian hidup. Ia adalah perkara biasa. Manusia memerlukan kerehatan dan ketenangan, kerana mereka adalah makhluk yang lemah.

Bayangkan sebuah mesin jika berterusan beroperasi tanpa henti, apa yang akan terjadi? Pasti ia akan mengalami sedikit sebanyak kerosakan. Begitulah juga dengan manusia, jika melakukan kerja berat tanpa rehat, maka akan sakitlah ia. Sama juga jika sentiasa dihenyak ujian dan dugaan, maka akan resahlah jiwa dan kusutlah fikiran.

Oleh itu manusia memerlukan hiburan untuk memberikan kerehatan dan ketenangan, baik kepada jasadnya maupun jiwa dan fikirannya.

Untuk berhibur, manusia melakukan berbagai-bagai cara. Tetapi apa yang terjadi, kadang-kala manusia tersilap memilih dalam berhibur.

Hiburan yang mendamaikan

Menyintai nyanyian dan merindukan suara yang indah itu adalah naluri peradaban manusia...
Bahkan juga dikatakan bahawa burung-burung dan binatang-binatang ternak turut terpesona dengan suara yang indah dan terbuai oleh bunyi seruling yang dialun...

Hiburan yang sejati menjadi penawar kepada diri. Hiburan sejati memberikan ketenangan dan mendamaikan hati. Demikianlah hiburan yang hakiki.

Termasuklah alunan ayat-ayat suci al-Quran, selawat yang memuji Nabi saw, nasyid-nasyid yang mengagungkan Allah, puisi-puisi yang menghaluskan rasa kehambaan kepada Tuhan lagu-lagu yang membangkitkan semangat untuk berjihad serta menegakkan Islam dan lagu-lagu yang meniupkan rasa keinsafan, mengenang kebesaran Allah dan menuju ketakwaan kepada Allah serta mahu bertaubat. Rentak irama, lagu dan liriknya dapat menenang jiwa, menghilangkan tekanan perasan, mengenyahkan kebosanan serta mengembalikan kesegaran spiritual, jasad dan emosi.

Masih ramai yang menganggap jika Islam diamal dan dihayati, maka akan murunglah dunia. Hidup menjadi tidak ceria. Bukan begitu, Islam tidak jumud dan tidak mengongkong. Islam tidak menolak hiburan sebagaimana yang didakwa oleh sesetengah pihak. Tetapi Islam datang untuk mengawal dan memberi panduan agar tidak tersalah dalam berhibur.

Hukum asal mendengar muzik tanpa nyanyian, mendengar muzik beserta nyanyian, mendengar sambil menonton penyanyi menyanyi adalah ‘harus’ tetapi ‘beryarat’. Syaratnya ialah rentak, irama, lagu dan liriknya tidak melalaikan, mengkhayalkan, membawa kepada lupa diri dan lupa Allah. Persembahan dan penampilan penyanyi juga mestilah menutup aurat dan geraknya tidak menghairahkan pendengar dan penonton.

Selain dari sifat muzik, rentak, irama, lirik, cara dan perlakuan si pendengar ketika mendengar muzik juga akan menentukan hukum mendengar muzik. Keterlaluan yang melampau, ketagih serta gian dalam mendengar muzik akan merubah hukum harus mendengar muzik kepada haram. Ia telah termasuk kepada perbuatan sia-sia dan boleh mendatangkan kesan kesan yang negatif. Pendengar akan tergoda, terbawa-bawa dan terfitnah dengan kemerduan suara penyanyi dan senikata serta lirik dan tergoda kepada batang tubuh penyanyi.

Pandai-pandai memilih dan selamat berhibur!

Ahad, 17 Jun 2012

~Alhamdulillah...Saya ada Dia~



Pernahkah anda merasa tidak bermaya? Bukan kerana anda tidak sihat tetapi kerana resah dan gelisah, fikiran berkecamuk dan rasa tertekan. Sedangkan anda tidak tahu mengapa.

Saya sedang mengalaminya, lebih-lebih lagi dalam situasi sekarang yang sangat sukar untuk dijelaskan. Resah dan gelisah, rasa tertekan muncul tanpa sebab yang jelas. Fikiran jadi tak menentu, hinggakan saya tidak tahu apa yang hendak dilakukan. Saya rasa tidak mahu bertemu dengan sesiapa, lebih selesa menyendiri berkurung di dalam bilik melayan perasaan yang kosong ini.

Saya hanya terbaring di atas katil sambil mata memerhati siling. Handset dipasang untuk meredakan perasaan, tetapi setiap lagu yang didengar bagaikan selumbar yang mencucuk ke dalam jiwa. Saya terasa seperti kehilangan sesuatu, ada ketikanya terasa bagaikan ada satu kerinduan yang mendalam, tetapi entah pada siapa. Hilang semua itu muncul pula perasaan marah, sedih, bimbang dan benci. Apa yang dibuat semua tidak kena. Masa bergerak bagaikan terlalu perlahan. Adakah saya sudah tidak siuman?

Ketika itu saya rasa keseorangan, tiada siapa yang mahu mendengar jeritan hati ini. Tiada siapa yang mahu menarik saya keluar dari kegelapan ini. Tiada siapa yang ingin menghulurkan tangan. Tiada...

"Ahh...kenapa aku begini!" jeritan batin meronta-ronta sendirian, jauh ke dalam.

Saya cuba kembali ke alam nyata, bersikap rasional. Segera saya membelek artikel-artikel tazkirah dan kata-kata hikmah yang banyak kedapatan di dalam laptop. Saya membaca satu persatu. Saya perlukan kekuatan, hinggalah anak mata saya singgah pada sebaris ayat:

"Dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya” [Qaff : 16]

"Dan Tuhanmu berfirman, "berdoalah kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa kamu." (al-Ghafir: 60)

Berulangkali saya membacanya. Terpaku seketika, rupanya saya tidak keseorangan. Saya ada Dia. Benar, Dia yang bersifat dengan lunak dan kasih sayang. Dia yang suka mendengar rintihan. Dia yang tidak jemu menghulur pertolongan. Dia yang amat dekat. Mengapa saya terleka hingga lupa kepada Dia.

Saya mula mencari titik mula. Saya mencari rahmat dan belas ehsan-Nya. Saya mencari kasih-Nya yang sempurna. Dan saya merasakan hati dan jiwa saya mula bersatu dengan diri yang hilang tadi, mulai tenteram.

Semuanya bercahaya kembali, kerana saya ada Dia. Ya! Saya ada Dia..Alhamdulillah kerana DIA tidak pernah meninggalkan saya walau dalam keadaan senang atau sukar..terima kasih Allah...T____T

"Ingatlah! Hanya dengan mengingati Allah sahajalah beroleh ketenteraman hati." (ar-Ra`du: 28)





Jumaat, 15 Jun 2012

~SyUkRaN Ya ALLaH.. :'(



Ujian yang datang tidak diduga. Seumpama kita melihat hari yang cerah, tanpa disangka mendung menyelubungi membawa hujan. Begitu juga hari yang gelap bergumpal awan hitam, tiba-tiba hujan tidak turun. Siapalah kita untuk meneka taqdir yang tersurat. Kita hanya menerima, redha atau sebaliknya.

Hari ini benar-benar satu ujian. Seharian, ada sahaja peristiwa yang tidak enak untuk dikenang. Bertalu-talu, belum mampu menghadapi ujian pertama datang pula ujian kedua. Letih, penat dan lemas. Kekabutan dan kecelaruan yang memenuhi rongga hati, hampir-hampir hilang kesabaran. Argghhh... iman di dada tipisnya lebih dari kulit bawang.

Saya mencari teman-teman rapat untuk meluah perasaan. Namun, semuanya tidak dapat membantu. Saya mencari dan terus mencari. Apa yang ada, kosong dan hampa, lemah dan longlai.

Saya terasa seperti kehilangan sesuatu, tiba-tiba timbul pula perasaan rindu yang mendalam dan mencengkam. Hati benar-benar terusik. Saya cuba bertanya kepada diri, apakah aku ini kehilangan sesuatu? Tidak! Siapa yang dirindui sebenarnya? Entahlah! Saya jadi tidak menentu, sulitnya jawapan yang dicari.

Teman-teman sudah tentu tidak dapat membantu...

Saya pasrah, saya akur...

Tiba-tiba lembut terngiang suara hati menjengah: “Mungkin kamu sudah lama tidak merintih dan menangis kerinduan kepada-Nya. Mungkin juga DIA rindu untuk mendengar rintihan hati kamu, maka diberikan ujian kepada kamu. Dengan ujian kamu akan segera ingat kepada-Nya, kamu akan merasa lemah dan kerdilnya diri. Sebab itu anggaplah ujian itu sebagai ‘jemputan’ DIA kepada kamu untuk bertemu dengan-Nya. Itulah rahmat disebalik ujian.”

Benarlah sudah lama saya tidak merintih dan menitiskan air mata kerinduan. Mungkin kerana dek kesibukan dengan urusan dunia, atau mungkin merasakan diri telah cukup sempurna??? Astaghfirullah...

Akhirnya saya merasakan bahawa DIA mahu saya mengadu dan bergantung harap hanya kepada-Nya. Saya segera insaf, lalu saya berwudhuk dan bersolat dua rakaat. Saya bermunajat memohon keampunan-Nya, menyelami perasaan hati. Merintih dan merayu kepada-Nya, biarlah malam yang indah ini menjadi milik saya dan DIA.

Sejenak saya merenung firman-Nya:
أَحَسِبَ النَّاسُ أَن يُتْرَكُوا أَن يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ
"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (sahaja) mengatakan "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi?" (al-Ankabut: 2)

Seketika saya merasa tertampar oleh diri sendiri. Seringkali saya mengatakan saya beriman, dan jika dikatakan “kamu tidak beriman” pasti saya akan merasa marah. Hakikatnya ujian itu adalah tapisan kepada iman saya.

Benar, sesekali ujian itu menjengah untuk mengetahui apakah benar kita telah beriman dengan sesungguhnya ataupun sekadar mainan kata di bibir semata.

Saya segera insaf. Ujian adalah kasih sayang-Nya.

Terima kasih Allah...





Khamis, 14 Jun 2012

~Dikhianati, apa rasanya??!!...maafkanlah..


Pada zaman dahulu kala, ada dua sahabat baik iaitu burung merak dan burung gagak. Merak dan gagak hanya mempunyai bulu yang sama iaitu berwarna putih. Kedua-dua sahabat baik ini sering bersama walau ke mana sahaja.

Satu hari mereka terlihat pelangi di sebalik bukit.

“Wah, cantiknya pelangi tu! Alangkah seronoknya jika aku cantik macam tu,” kata burung merak.

“Betul, memang cantik,” sahut si gagak pula.

Tiba-tiba burung merak mendapat satu akal.

“Apa kata kita warnakan bulu kita macam pelangi tu, tentu cantik,” kata burung merak.

“Hmm...bagus juga cadangan kamu tu,” kata gagak memberi persetujuan.

“Baiklah. Kalau begitu, apa kata kamu warnakan dulu bulu saya, kemudian saya warnakan pula bulu kamu,” kata burung merak. Gagak pun mewarnakan sahabat karibnya. Alangkah gembiranya merak setelah melihat dirinya.

“Wahh...aku dah cantik,” kata merak dengan gembira.

“Baiklah merak, sekarang giliran kamu pula mewarnakan bulu saya,” kata gagak.

Tiba-tiba timbul di fikiran merak, “kalau aku warnakan dia cantik-cantik, tentu ramai yang akan suka kepada gagak. Kalau macam tu, tak boleh jadi...”

Merak pun mewarnakan gagak dengan warna hitam. Lalu menangislah gagak apabila melihat keadaan dirinya. Akhirnya mereka bergaduh dan tidak bertegur sapa.

Kisah ini hanyalah kisah rekaan semata-mata. Saya yakin kisah ini direka hasil pemerhatian dua sifat yang berlawanan, satu dengan bulu yang cantik berwarna-warni dan satu lagi yang tampak memang tidak menarik dengan bulu yang hitam legam. Saya merasakan jika si merak serta sang gagak mengetahui cerita ini, pasti saya akan dimarahi.

Muliakah si merak dengan bulu yang berwarna-warni, manakala hina sangatkah gagak yang hitam legam itu? Itulah yang sering terjadi, cantik dan hodoh menjadi perbandingan. Seakan ada pemisah antara keduanya, sedangkan tiada istilah cantik dan hodoh di sisi Allah SWT. Kita sering terlupa, Allah SWT tidak melihat rupa paras, tetapi nilai ketaqwaan yang menjadi ukurannya.

Kata seorang sahabat: “Cantik atau hodoh, semuanya ciptaan Allah. Siapalah kita untuk menilai dan menghinanya.” 
 Ambil pengajaran...

Dikhianati???
Namun dari kisah ini mari kita ambil satu lagi pengajaran, kita berfikir sejenak tentang apa yang berlaku di sekeliling kita.

Benar, di antaranya sifat khianat!

Betapa sakitnya apabila dikhianati. Bukan hanya khianat kepada fizikal, malah lebih sakit lagi khianat kepada jiwa dan perasaan. Memang tidak tertanggung sakitnya. Bayangkan, jika orang yang di sayangi dan dikasihi, malah orang yang dipercayai, tiba-tiba mengkhianati kita. Bagai dihempuk batu yang besar lagaknya, kita menanar tidak menyangka.

Buruknya sifat khianat, hubungan yang baik boleh menjadi renggang, hatta adik-beradik sendiri sekalipun.

Sifat khianat adalah termasuk budi pekerti yang buruk dan dibenci, ia umpama racun yang boleh membunuh jiwa. Ia menjelaskan kerendahan sifat manusia yang menjauhkan seseorang dengan yang lain, dan lebih malang lagi ia menjauhkan seseorang dari sisi Allah SWT.

Orang yang khianat adalah orang yang terang-terangan melakukan kezaliman. Mereka menzalimi orang lain, mereka mencabuli hak orang lain. Kezaliman mengundang kemurkaan Allah SWT dan orang yang zalim sekali-kali tidak akan mendapat petunjuk-Nya. Bahkan ianya memungkinkan pintu yang terbuka untuk memasuki neraka Allah SWT yang menyala-nyala apinya andai tidak memohon keampunan dari mereka yang telah dikhianati dan bertaubat kepada-Nya.

Anda pernah dikhianati?

Apakah tindakan anda seterusnya? Membalas kembali pengkhianatannya? Ya, anda berhak untuk membalasnya. Namun, cuba perhatikan firman Allah SWT ini:
وَجَزَاء سَيِّئَةٍ سَيِّئَةٌ مِّثْلُهَا فَمَنْ عَفَا وَأَصْلَحَ فَأَجْرُهُ عَلَى اللَّهِ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الظَّالِمِينَ
وَلَمَنِ انتَصَرَ بَعْدَ ظُلْمِهِ فَأُوْلَئِكَ مَا عَلَيْهِم مِّن سَبِيلٍ
إِنَّمَا السَّبِيلُ عَلَى الَّذِينَ يَظْلِمُونَ النَّاسَ وَيَبْغُونَ فِي الْأَرْضِ بِغَيْرِ الْحَقِّ أُوْلَئِكَ لَهُم عَذَابٌ أَلِيمٌ
وَلَمَن صَبَرَ وَغَفَرَ إِنَّ ذَلِكَ لَمِنْ عَزْمِ الْأُمُورِ
“Dan balasan suatu kejahatan adalah kejahatan yang serupa, maka barang siapa memaafkan dan berbuat baik maka pahalanya atas (tanggungan) Allah. Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang-orang yang zalim. Dan sesungguhnya orang-orang yang membela diri sesudah teraniaya, tidak ada satu dosa pun terhadap mereka. Sesungguhnya dosa itu atas orang-orang yang berbuat zalim kepada manusia dan melampaui batas di muka bumi tanpa hak. Mereka itu mendapat azab yang pedih. Tetapi orang yang bersabar dan memaafkan, sesungguhnya (perbuatan ) yang demikian itu termasuk hal-hal yang diutamakan. ” (asy-Syuura: 40–43)

Tentu susahkan untuk memaafkannya. Perkara ini sudah terkena pada..saya akan berfikir dua kali..tiga kali..empat kali..untuk memaafkannya. Kadangkala terdetik juga dalam hati  untuk saya membalasnya sekiranya diberi peluang. Tetapi inilah yang disebut oleh Allah SWT, bersabar dan memaafkan adalah yang terbaik.

Jika kita mengerti, sesungguhnya Allah SWT ingin memberi kita pahala yang amat besar. Lihatlah pertama kita dikhianati, kemudian kita bersabar dengan tidak membalasnya dan akhirnya kita boleh pula memaafkannya seterusnya melupakan perbuatan khianat itu. Berapa banyak pahala yang diperolehi jika lulus dengan ujian tersebut.

Betapa besarnya jiwa mereka yang boleh melakukan demikian. Marilah kita mengambil contoh perbuatan khianat pemuka-pemuka kafir Quraisy ke atas Nabi Muhammad saw, namun demikian baginda mampu memaafkannya yang menyebabkan mereka tertarik dengan akhlaq yang ditunjukkan oleh baginda. Akhirnya mereka bersyahadah memeluk agama Islam. Kisah-kisah sebegini banyak terdapat di dalam sirah baginda.

Justeru, marilah kita mengambil contoh ikutan yang ditunjukkan oleh junjungan besar Nabi SAW dalam segala hal kehidupan.

Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَيْسَ الشَّدِيدُ بِالصُّرَعَةِ ، إِنَّمَا الشَّدِيدُ الَّذِى يَمْلِكُ نَفْسَهُ عِنْدَ الْغَضَبِ
Bukanlah orang yang kuat itu dengan bergusti, tetapi orang yang kuat itu ialah orang yang mengawal diri mereka ketika marah. (al-Bukhari, al-Jami’ al-Sahih al-Mukhtasar, Dar Ibn Kathir, Beirut, 1987, jil. 5, hlm. 2267, no. hadith: 5763)

  Kita mampu mengubahnya!

Rabu, 13 Jun 2012

Ya Allah.. :'(

Ya Allah, Tuhanku Yang Satu. Andai ini kata-kata terakhirku.

Ya Allah Tuhanku, kalaulah Engkau mentakdirkan dosa itu busuk dan pahala itu wangi, nescaya semua makhluk akan menjauhi aku. Lantaran tidak tahan dengan busuk dosa yang aku kandung. Tiada pula wangi pahala yang aku tanggung.

Ya Allah Tuhanku, yang tidak pernah memandang hamba dengan pandangan hina selagi hamba itu tidak menduakanNya. Aku kembali kepadaMu dalam hal keadaan dosa-dosaku yang bernanah membusung.

Ya Allah Tuhanku, yang telah mengurniakan bagi hamba sekeping hati. Yang fitrahnya menyukai barang makruf dan kebaikan. Sejauh mana mungkar dan keburukan yang disukainya, tetap berdenyut di dalamnya nadi yang mahukan jernih dan bersihnya fitrah hamba untuk kembali kepadaMu.

Ya Allah Tuhanku, aku lemah maka aku perlukan kekuatan daripadaMu. Aku jahil maka aku perlukan hikmah kebijaksanaan daripadaMu. Aku hina maka pandanglah aku dengan kacamata rahmatMu agar aku bisa gagah menjadi mulia di mataMu. Aku miskin, maka kayakanlah aku dengan tawaduk dan kerendahan hati untuk menghadapMu.