Rabu, 2 Mei 2012

~Jangan Bersedih Bila Di ‘Tolak’…~


Sehari dua ini, yang berdendang dalam komputer saya adalah lagu-lagu sedih. Saya pernah nak happykan diri saya dengan tengok drama Jepun, tetapi drama Jepun itu pun ada ceritakan yang watak perempuannya kena tolak. Saya masih ingat saya menangis bila tengok drama itu.

Bila saya tidur, saya sentiasa berharap agar saat saya bangun, semua yang saya hadapi adalah mimpi.

Lemah. Perit. Sakit.

Jiwa rasa terseksa. Seakan-akan tersepit.

Untuk beberapa hari, begitulah yang diri ini rasakan.

Tetapi untungnya diri ini, adalah apabila mengikuti tarbiyah dan mempunyai sahabat-sahabat yang dapat memberikan semangat dan motivasi.

Saya mengadukan masalah saya kepada sahabat-sahabat seperjuangan.

“Kadangkala, benda-benda macam ini jadi sebab Allah mahu kita tingkatkan diri kita lebih lagi.”

Ya. Begitulah sahabat saya sebut kepada saya. Mengetuk jiwa saya. Membuatkan kabut gelap dalam diri sebelum itu, seakan pecah sebentar untuk memberikan saya peluang melihat cahaya.

Tingkatkan diri lagi.

Kadangkala, benda macam ini, perlukan masa Hana. Kena ingat balik, kenapa bercinta.” Seorang lagi sahabat mengingatkan.

Perlu ingat balik kenapa bercinta. Ya. Ketika itu saya mula teringat apakah makna cinta pada saya. Cinta, adalah ingin bersamanya ke syurga. Jadi, mustahil peribadi seorang yang hendak ke syurga, selemah ini?

Bila putus cinta, mahu merasa seperti hendak mati. Seakan tidak bermakna hidup.

Apakah itu peribadi manusia yang hendak membawa seseorang ke syurga?

Selepas itu saya tersedar.

Dan bangkit.


Bukan Mudah. Tetapi Bukan Mustahil. Dunia Belum Berakhir.


Bukan mudah. Benar.

Tetapi perlu diingat, bukan mustahil.

Memang ada masa, mengalir juga air mata ini bila terkenangkan diri ditolak. Tetapi sebagai seorang yang berhajat ke syurga Allah SWT, yang memegang makna cinta yang luar biasa, saya perlu kuat untuk memecahkan paradigma cinta yang biasa dijaja.

Putus cinta kelar tangan. Putus cinta jadi orang jahat. Putus cinta terjun bangunan. Putus cinta pergi serang orang yang tolak. Putus cinta hidup jadi celaru. Dan sebagainya, yang dijaja oleh dunia hari ini, yang mewarnakan wajah cinta. Saya, perlu membuktikan bahawa cinta bukan sedemikian!

Jadi, ‘bersamanya ke syurga’ bukan bererti saya dan dia jadi suami isteri untuk ke syurga. Tidak semestinya. Asalkan dia dan saya berada di dalam syurga, itu maksudnya. Jadi, tugas saya yang sudah di’reject’, adalah meneruskan kehidupan dengan baik dan tidak pula menganggunya.

Maka saya teruskan kehidupan. Saya luaskan pandangan saya terhadap dunia.

Ya, saya kena reject. Tapi saya masih ada sahabat-sahabat serumah, rakan-rakan sekerja, Abah dan adik beradik, serta kekuatan dari diri saya sendiri. Bahkan, saya masih ada Allah SWT untuk saya abdikan diri, saya masih ada tanggungjawab untuk diteruskan lagi. Di situlah saya fokuskan kehidupan saya.

Meluaskan pandangan terhadap kehidupan. Satu perkara yang penting, crucial, apabila cinta ditolak atau putus cinta. Mengelakkan kita dari melakukan perkara-perkara yang bodoh, menghalang kita dari tidak bersemangat dan sebagainya.

Bukan tidak boleh bersedih, menangis, merasa hiba. Silakan. Saya juga demikian.

Tetapi jangan lupa, tujuan hidup kita di atas muka bumi ini bukan untuk ‘mendapatkan seorang lelaki/perempuan’. Tetapi adalah untuk mengabdikan diri di atas muka bumi ini.

Jadi, cinta yang sebenar, jika kita benar mencintai seseorang itu, maka bila dia reject kita, kita doakan kebahagiaan buatnya. Dan kita teruskan kehidupan kita, dengan tidak lagi menganggu kehidupannya.

Itu yang sepatutnya kita lakukan!

Maka, pandanglah peluang dan ruang yang masih ada dalam kehidupan.

Palingkanlah wajah kita kepada Allah. Mungkin putus cinta, cinta ditolak, adalah panggilanNya untuk kita lebih merapat kepadaNya, membersihkan diri dan menjadi hambaNya yang lebih baik lagi.

“Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu.” Surah Asy-Syu’ara ayat 30.

Mungkin kita kena reject kerana dosa kita. Kerana akhlak kita yang masih tidak baik di sisi Allah. Menyebabkan Allah tangguhkan dahulu kebaikan buat kita. Dia mahu mengampunkan dosa-dosa kita, dengan menguji kita, agar kita bergerak ke arah perubahan. Ya, siapa tahu?

Positif. Bersangka baik kepada Allah!



Selepas itu, walaupun saya kadangkala teringat akan lelaki yang saya cinta, tetapi alhamdulillah, saya melalui kehidupan dengan baik. Tidak tension. Tidak lemah.Bahkan saya sibukkan diri saya dengan merapati para pelajar dan menjalankan tugasan seperti biasa..

Dan alhamdulillah apabila direject, saya dapat menyelami perasaan orang lain yang direject, lantas dapat membantu mereka. Itu antara hikmah mengapa Allah beri saya rasa direject.

Apa yang penting, luaskan pandangan.

Putus cinta, ditolak, bukan pengakhir kepada kehidupan.

Lepaskan terus, bila telah putus dan ditolak. Usah difikir lagi. Teruskan kehidupan.

Kita akan nampak, luasnya rahmat Tuhan.

“Allah berfirman: AzabKu akan Aku timpakan kepada sesiapa yang Aku kehendaki, dan rahmatKu meliputi tiap-tiap sesuatu; maka Aku akan menentukannya(rahmat itu) bagi orang-orang yang bertaqwa, dan yang memberi zakat, serta orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat Kami.” Surah Al-A’raf ayat 156.

Maka apabila diuji, fokuskan untuk melakukan banyak kebaikan di dalam hidup, agar rahmat Allah yang luas itu, ‘menyentuh’ kita. Mungkin kita diterima semula, mungkin dapat yang lebih baik, mungkin jadi lebih bahagia, mungkin jadi lebih berjaya, dan sebagainya. Siapa tahu?

Yang penting, percaya kepadaNya, kembali kepadaNya.

Dia Maha Tahu, dan kita hanya berusaha!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan