Ahad, 17 Jun 2012

~Alhamdulillah...Saya ada Dia~



Pernahkah anda merasa tidak bermaya? Bukan kerana anda tidak sihat tetapi kerana resah dan gelisah, fikiran berkecamuk dan rasa tertekan. Sedangkan anda tidak tahu mengapa.

Saya sedang mengalaminya, lebih-lebih lagi dalam situasi sekarang yang sangat sukar untuk dijelaskan. Resah dan gelisah, rasa tertekan muncul tanpa sebab yang jelas. Fikiran jadi tak menentu, hinggakan saya tidak tahu apa yang hendak dilakukan. Saya rasa tidak mahu bertemu dengan sesiapa, lebih selesa menyendiri berkurung di dalam bilik melayan perasaan yang kosong ini.

Saya hanya terbaring di atas katil sambil mata memerhati siling. Handset dipasang untuk meredakan perasaan, tetapi setiap lagu yang didengar bagaikan selumbar yang mencucuk ke dalam jiwa. Saya terasa seperti kehilangan sesuatu, ada ketikanya terasa bagaikan ada satu kerinduan yang mendalam, tetapi entah pada siapa. Hilang semua itu muncul pula perasaan marah, sedih, bimbang dan benci. Apa yang dibuat semua tidak kena. Masa bergerak bagaikan terlalu perlahan. Adakah saya sudah tidak siuman?

Ketika itu saya rasa keseorangan, tiada siapa yang mahu mendengar jeritan hati ini. Tiada siapa yang mahu menarik saya keluar dari kegelapan ini. Tiada siapa yang ingin menghulurkan tangan. Tiada...

"Ahh...kenapa aku begini!" jeritan batin meronta-ronta sendirian, jauh ke dalam.

Saya cuba kembali ke alam nyata, bersikap rasional. Segera saya membelek artikel-artikel tazkirah dan kata-kata hikmah yang banyak kedapatan di dalam laptop. Saya membaca satu persatu. Saya perlukan kekuatan, hinggalah anak mata saya singgah pada sebaris ayat:

"Dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya” [Qaff : 16]

"Dan Tuhanmu berfirman, "berdoalah kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa kamu." (al-Ghafir: 60)

Berulangkali saya membacanya. Terpaku seketika, rupanya saya tidak keseorangan. Saya ada Dia. Benar, Dia yang bersifat dengan lunak dan kasih sayang. Dia yang suka mendengar rintihan. Dia yang tidak jemu menghulur pertolongan. Dia yang amat dekat. Mengapa saya terleka hingga lupa kepada Dia.

Saya mula mencari titik mula. Saya mencari rahmat dan belas ehsan-Nya. Saya mencari kasih-Nya yang sempurna. Dan saya merasakan hati dan jiwa saya mula bersatu dengan diri yang hilang tadi, mulai tenteram.

Semuanya bercahaya kembali, kerana saya ada Dia. Ya! Saya ada Dia..Alhamdulillah kerana DIA tidak pernah meninggalkan saya walau dalam keadaan senang atau sukar..terima kasih Allah...T____T

"Ingatlah! Hanya dengan mengingati Allah sahajalah beroleh ketenteraman hati." (ar-Ra`du: 28)





Tiada ulasan:

Catat Ulasan