Rabu, 28 Julai 2010

~ Kemaafan Dendam Yang Terindah~


Kesekian kali, saya mengumpul tenaga..mencari kekuatan meluahkan apa yang terbuku.. Semalam yang pergi biarkan berlalu, esok yang datang perlu dihadapi.. memujuk hati sendiri lebih sukar dari memujuk hati insan lain..untuk terus dijalan-Nya. Senang dituturkan, pelaksanaannya sukar, cukup luar biasa dugaan-Nya.

Hari ini dan hari-hari mendatang terpaksa ditempuhi, meskipun pedih, meskipun sulit, namun hidup perlu diteruskan, walau 50 tahun lagi, walau 5 tahun, walau 5 saat.. harus! Seolah cahaya yang melintas, hadirnya walau sedetik namun melintas mengekalkan sinarnya… hidup pun begitu..terus, terus, dan terus.. hingga sampai kepada titik noktahnya.

Sikap saling memaafkan sekiranya diamalkan sesama manusia setiap hari sebelum tidur, satu perkara yang cukup luar biasa kesannya. Andaikan, semua manusia saling memaafkan, pasti esok dilaluinya tanpa bemasam muka, tanpa muram durjana, tanpa dendam kesumat.. cerminan biasan dari sifat Allah Al-‘Afuww dan Al-Ghafur.. Subhanallah…

Sepanjang perjalanan hidup seorang manusia… dicaci, dicerca, dikritik, dimarahi perkara biasa yang dialami, diumpat apatah lagi… sehinggakan ‘lumrah’ manusia ini terkadang menjadikan langkah perjalanan terhenti, derap larian tersadung dek kerana hati terluka, jiwa terguris…Hati yang inginkan kebahagiaan dalam hidup tiba-tiba disentap dengan cubaan ini, lautan air mata tak kering dan sunyi kerana deretan kerenah manusia disantap saban hari.. Calarnya emosi, bertambah lukanya jiwa…kata orang, luka boleh sembuh, tapi tetap tinggalkan parutnya..
Wah..banyak modalnya kalau berbicara tentang dendam…tapi apabila bercakap tentang MAAF? Semuanya kaku kelu tunduk membisu..

Justeru, diri perlu dibangun, minda perlu ditazkiyyahkan agar menjadi Muslim yang unggul, Mukmin yang jitu… susah? Tapi tak mustahil… MAAF?… Itu solusinya… sukar? Itu mehnahnya..

Tatkala diri dikeji, kita berkuasa untuk tidak memaafkannya kerana hati dan jiwa milik kita, tapi Khalifah Umar Abdul Aziz pernah mengingatkan terlebih dahulu “Kemaafan yang utama itu adalah ketika berkuasa”. Bahkan ada yang mengatakan maaf adalah dendam yang terindah.

Bila diri dikritik, berpeganglah pada satu hakikat, kritikan bukan bererti membangkang, kritikan dijadikan pembakar semangat, cabaran disahut untuk berubah dan memperbaiki diri.

Benar, sepatutnya kita berterima kasih pada mereka yang ‘menyakiti’ hati dan jiwa kita, kerana dia yang menabahkan kita, berterima kasihlah pada orang yang menjatuhkan kita kerana dia memperkuatkan kita… bahkan bersyukur dan berterima kasihlah pada Tuhan sekiranya pernah dulu kita diuji dengan lemahnya semangat, diduga dengan jatuhnya minda, dicuba dengan rapuhnya jiwa.. kerana itu lambang kasih sayang-Nya.

Bukti sejauh mana hakikat dan kebenaran kita berkata aku hamba yang menyeru. Melihat sejauh mana ketelusan diri yang mengatakan aku beriman.. Dan juga sejauh mana dikatakan Al-Quran diamati sebagai guide hidup…yang paling penting ia mengajar kita erti usaha, doa dan tawakkalnya kita pada Allah, kerana ramai manusia berusaha tetapi terlupa berdoa pada-Nya, ramai yang berusaha dan berdoa, namun masih tidak mencapai maqam tawakkal, bahkan ‘mendesak’ Tuhan agar selesaikan kekalutan jiwa secepat mungkin.. Aduhai.. yakinlah, sesungguhnya Dia Maha Mengetahui setiap sesuatu yang terbaik untuk hamba-Nya.

Memaafkan manusia itu satu kemestian, sedangkan Rasulullah ketika di Taif yang dipelawa Jibril untuk menghempap batu ke atas umatnya yang enggan, insan agung itu rela memaafkan.. Inikan kita manusia yang entah mana darjatnya disisi Tuhan. Ego masih menguasai hati, bukti penyakit hati masih melata liar di dalam hati ; tempat bermukim jatuhnya pandangan Allah. Menelusuri hakikat dosa-dosa, yang dibawa menghadap Allah setinggi gunung sekalipun, Allah mengurniakan keampunan-Nya seluas lautan. Nah! Allah mengajar kita erti kemaafan, sedangkan Dia Tuhan, pemilik segala jiwa masih mengampunkan hamba-Nya yang ‘asi, inikan pula kita hamba yang seumur hidup menghamba.. hanya hamba! Moga hati-hati kita dikurniakan bias sifat ‘Afuww dan Ghafur Allah..amin..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan